Gadis nekad terjun sungai diselamatkan Bomba


TEKANAN: Mangsa yang dipercayai mengalami tekanan berdiri di besi saluran paip sebelum terjun ke sungai.

KOTA KINABALU: Tindakan pantas pasukan bomba berjaya menyelamatkan seorang gadis yang terjun dari besi saluran paip dekat Jambatan Sungai Sembulan di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang, remaja berumur 15 tahun itu bertindak terjun ke sungai selepas dipercayai mengalami tekanan akibat masalah keluarga.

Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sembulan bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 1.46 petang dan berusaha memujuk mangsa namun gagal.

Pegawai Operasi BBP Kota Kinabalu Jamaludin Hussin berkata, selepas hampir lima minit anggota bomba cuba memujuk, mangsa kemudiannya nekad terjun ke sungai terbabit.

Katanya, pasukan bomba yang sudah bersedia berada di sungai berkenaan berjaya menyelamatkan gadis terbabit dari lemas.

"Selepas diselamatkan, mangsa ditenangkan dan diberi rawatan sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) dengan kebenaran pasukan polis untuk pemeriksaan lanjut.



SELAMAT: Anggota bomba membawa naik mangsa selepas berjaya diselamatkan.

"Operasi menyelamatkan mangsa tamat pada jam 2.23 petang," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata, seramai 15 anggota dengan sebuah jentera, EMRS dan dua kenderaan utiliti digunakan untuk operasi berkenaan.

Pada masa sama jelasnya, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu turut berada di lokasi kejadian.


Sumber : Utusan Borneo

Catat Komen

0 Ulasan