Rumah dua tingkat musnah 90 peratus dalam kebakaran

KINABATANGAN: Sebuah rumah dua tingkat di Suan Lamba Peringkat 2 dekat sini hampir musnah sepenuhnya dalam kejadian kebakaran yang berlaku pagi semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamalludin berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Negeri Sabah telah menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu kira-kira jam 9.19 pagi melalui talian MERS 999.

Katanya, pasukan operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Hairul Jamal bersama lapan anggota penyelamat kemudianya digerakkan ke lokasi kejadian yang dianggarkan sejauh  45 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat  Kinabatangan.

Tambahnya, pasukan operasi itu menggunakan kekuatan logistik sebuah jentera kecemasan Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah kenderaan utiliti pelbagai guna.

Menurut Komander Operasi, kebakaran tersebut melibatkan sebuah rumah dua tingkat jenis separuh kekal dengan anggaran keluasan 59’x57’ yang telah musnah terbakar 90 peratus.

Nurul Azlan yang juga turun ke lokasi kejadian berkata, pasukannya berjaya mengawal kemerebakan dan seterusnya mengawal kebakaran tersebut pada jam 10.28 pagi dan operasi tamat sepenuhnya selang sejam selepas itu.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan, manakala punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan oleh Bahagian Penyiasatan Zon Sandakan.

Sumber : Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 http://t.me/InfoAwamSabah

Catat Komen

0 Ulasan