KOTA KINABALU: Pusat Kesihatan Daerah Nabawan membuat laporan polis semalam berikutan ugutan diterima terhadap kakitangan mereka.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, pusat kesihatan itu menerima ugutan berkenaan sejak tiga hari lalu.

“Pejabat Kesihatan Daerah Nabawan menerima ugutan dalam bentuk teks dan rakaman suara yang ditularkan di WhatsApp sejak tiga hari lalu.

“Ia mengandungi rungutan, perasaan tidak puas hati dan tidak percaya segelintir pihak terhadap diagnosis Covid-19 yang meningkat di daerah itu, baru-baru ini. Unsur-unsur ancaman terhadap keselamatan kakitangan dan harta benda kerajaan sudah dikenal pasti.

“Pejabat Kesihatan Daerah Nabawan memandang serius terhadap segala jenis ancaman dan ugutan terhadap keselamatan kakitangan dan harta benda kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan pemberita mengenai perkara terbabit dalam satu sidang perkembangan Covid-19 di Sabah secara dalam talian, semalam.

Dalam pada itu, Masidi yang merupakan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II Sabah, turut menggesa orang ramai supaya memberikan kerjasama dengan petugas kesihatan bagi memastikan kesihatan sesebuah komuniti.

“Petugas barisan hadapan kita sudah bekerja tanpa henti dan juga kurang rehat. Mereka harus membuat keputusan berdasarkan data dan bukti,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nabawan, Datuk Bobbey Suan meminta penduduk bertenang dan membiarkan pihak berkuasa melaksanakan tugas mereka dalam menangani kes Covid-19. 

Sumber : HMetro