Penduduk Berjaya Tangkap Buaya Sesat Di Pulau Gaya


Buaya yang berjaya ditangkap penduduk kampung di Kampung Lobong, Pulau Gaya.

KOTA KINABALU: Buaya yang tersesat berhampiran laut perairan Pulau Gaya, di sini, ditangkap penduduk kampung itu, petang hari ini.

Kehadiran buaya berukuran empat meter panjang itu disedari seorang penduduk Kampung Pondo, pulau berkenaan, seawal 8 pagi hari ini, sebelum penduduk bekerjasama menangkap reptilia berkenaan.

Buaya yang berjaya ditangkap penduduk kampung di Kampung Lobong, Pulau Gaya.

Ketua Kampung Pulau Gaya, Rajit Serong, 60, berkata, sebaik menemui buaya berkenaan di kawasan perairan pulau itu, penduduk mengekori reptilia terbabit dengan menggunakan bot.

Katanya, kelibat buaya berkenaan semakin jelas ketika air laut surut selain hanya berlegar-legar berhampiran pantai Kampung Lobong.

“Kami terus memasang jerat menggunakan tali sebelum akhirnya menangkapnya sekitar 5.30 petang.

“Kami terus menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk mendapatkan bantuan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Rajit berkata, ia adalah pengalaman pertama mereka menangkap haiwan ganas berkenaan sejak tinggal di pulau berkenaan.

“Tujuan kami menangkap haiwan berkenaan adalah kerana bimbang keselamatan penduduk di pulau ini terutamanya kanak-kanak.

“Ia juga boleh mendatangkan bahaya kepada nelayan di perkampungan sekitar pulau ini,” katanya.

Kejadian itu turut tular di media sosial selepas dimuat naik penduduk kampung yang berusaha menangkap haiwan berkenaan. 


TAG