250,000 Terima Dos Ketiga Di Sabah

Gambar Hiasan
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 http://t.me/InfoAwamSabah

KOTA KINABALU: Kira-kira 60,000 petugas barisan hadapan dan 193,953 warga tua, selain individu dalam kumpulan berisiko tinggi akan menerima suntikan dos penggalak vaksin COVID-19 di Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor yang melancarkan program pemberian dos penggalak itu berkata, pelalian di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) itu dilaksanakan dalam dua peringkat.

Katanya, peringkat pertama yang bermula hari ini hingga 20 November depan untuk petugas barisan hadapan kesihatan dan bukan kesihatan, sebelum disusuli individu berumur 60 tahun ke atas dan golongan sakit terlantar dalam peringkat kedua.

Beliau berkata, pemberian dos penggalak itu percuma dan diberikan secara sukarela, selepas melengkapkan dua dos dalam tempoh enam bulan lalu.

Walaupun pemberian dos penggalak pilihan individu, ini sangat disarankan bagi mendapatkan perlindungan optimum daripada virus COVID-19,” katanya dalam kenyataan selepas melancarkan program berkenaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, di sini, hari ini.

Hajiji berkata, Kementerian Kesihatan memutuskan suntikan dos penggalak hanya untuk mereka yang menerima vaksin keluaran Pfizer-BioNTech atau Comirnaty.

Beliau berkata, pemberian dos penggalak dilaksanakan di beberapa fasiliti kerajaan dan swasta yang terpilih di bawah penyeliaan ProtectHealth Corporation Sdn Bhd.

Individu yang layak akan dimaklumkan melalui aplikasi MySejahtera, manakala pusat pemberian vaksin (PPV) akan menghubungi penerima melalui panggilan telefon atau khidmat pesanan ringkas (SMS) bagi mereka yang tiada aplikasi berkenaan,” katanya.

Sehingga kelmarin, 70.8 peratus penduduk dewasa di Sabah sudah menerima vaksin lengkap, manakala seramai 319,707 atau 73.67 peratus daripada 434,000 remaja berumur 12 tahun hingga 17 tahun pula sudah menerima suntikan dos pertama dan 50.31 peratus pula sudah lengkap vaksin.

Hajiji berkata, secara keseluruhan, seramai 2,355,859 penduduk di Sabah sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, manakala seramai 2,140,780 sudah melengkapkan vaksin COVID-19. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 http://t.me/InfoAwamSabah