Derita 'jaga' sekolah, kerja tanpa gaji

Port Dickson: Seramai 39 pengawal keselamatan bertugas di sembilan sekolah di daerah ini buntu apabila tidak dibayar gaji selama tiga bulan.

Mereka hanya dijanjikan bayaran gaji tertunggak yang akan dijelaskan pada 31 Oktober ini melalui surat bertarikh 22 Oktober lalu.
Pengawal Keselamatan, Ismail Tangis, 54, berkata, dia sudah lapan tahun bekerja sebagai pengawal keselamatan sejak bersara daripada Angkatan Tentera Malaysia.
"Tiga bulan bukan tempoh yang pendek dan tunggakan gaji kami sekitar RM5,500 seorang. Situasi ini menyebabkan kehidupan kami terjejas.


"Nasib kami sedikit terbela apabila wakil rakyat kawasan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN ), Bagan Pinang, Datuk Tun Hairudin Abu Bakar dan ADUN Linggi, Datuk Abdul Rahman Mohd Redza ada membantu memberikan barangan dapur bagi meringankan beban kami," kata bapa kepada lima anak berusia dari 13 hingga 21 tahun itu.

Rakannya, Mazlan Aman, 57, berkata, sebelum ini mereka (pihak syarikat) mengatakan gaji akan dibayar pada hari Jumaat namun janji itu masih belum terlaksana.
"Kami juga ada komitmen, nak bayar pelbagai bil utiliti, belanja dapur dan keperluan ini. Ini menyebabkan kami terpaksa berhutang keliling pinggang.

"Kami amat berharap gaji kami dibayar tidak lama lagi," katanya.

Seorang lagi pengawal keselamatan, Zaid Zainal Abidin, 53, turut terpaksa meminjam wang daripada ahli keluarga dan rakan untuk membayar tunggakan rumah serta ansuran kereta.

"Gaji saya tertunggak hampir RM6,000 . Sejak tidak dibayar gaji, saya terpaksa meminjam wang. Mana saya nak letak muka, kami pun ada maruah diri dan yang paling penting kami amat perlukan duit," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Negeri Sembilan, S Tharu Marajan ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah membuka kertas siasatan dan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut.





Sumber: Harian Metro