Lebih 70% Penduduk Dewasa Di Sabah Lengkap Dua Dos Vaksin – Masidi

Gambar : BERNAMA
Datuk Seri Masidi Manjun.

KOTA KINABALU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Masidi Manjun berkata, lebih 2 juta penduduk di Sabah telah lengkap dos vaksin setakat 11 Okt lalu dengan 70.3% daripadanya adalah penduduk dewasa.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 http://t.me/InfoAwamSabah

Selain itu, katanya, seramai 115,966 orang atau 27% daripada jumlah penduduk Sabah yang telah lengkap dos vaksin adalah remaja. 

“Kumulatif penduduk Sabah yang telah menerima vaksin dos satu setakat 11 Okt adalah seramai 2,380,981 orang dan ia meliputi 2,079,569 orang penduduk dewasa bersamaan dengan 75.4%.

“Sementara itu, bagi penduduk Sabah yang menerima dos lengkap adalah 2,055,483 orang dan daripada jumlah ini, seramai 1,939,517 orang atau 70.3% adalah penduduk dewasa.

“Bagi penduduk remaja pula, seramai 301,412 orang atau 70.7% telah menerima satu dos vaksin, manakala penduduk remaja yang telah lengkap dos vaksin adalah 115,966 atau 27.0% orang setakat ini,” katanya dalam kenyataan harian perkembangan Covid-19 Sabah, hari ini.

Terdahulu, dalam ucapan penggulungan beliau pada sidang DUN Sabah, baru-baru ini, Masidi mencadangkan supaya pergerakan rentas daerah di seluruh Sabah dibenarkan selepas tahap vaksinasi mencapai sekurang-kurangnya 70%.

Bagaimanapun, katanya, setiap keputusan mahupun perubahan akan dilakukan berdasarkan analisis terhadap data dan situasi.

Setakat ini, kebenaran merentas daerah di Sabah hanya dibenarkan mengikut zon, iaitu dengan enam zon ditetapkan.

Sabah juga belum membenarkan pergerakan rentas negeri walaupun Perdana Menteri telah mengumumkan kebenaran itu pada Ahad.

Bagaimanapun, keputusan mengenai perkara itu dijangka diumumkan esok selepas kerajaan negeri mengadakan mesyuarat Kabinet. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 http://t.me/InfoAwamSabah

TAG