20 PTI Ditahan Dalam Operasi Imigresen di Kota Kinabalu

20 PTI ditahan dalam operasi Imigresen di Kota Kinabalu pada 27 dan 29 Oktober, melibatkan warga Pakistan, Filipina, dan Indonesia tanpa dokumen sah.

20 PTI Ditahan Dalam Operasi Imigresen di Kota Kinabalu


KOTA KINABALU:
Seramai 20 pendatang asing tanpa izin (PTI) ditahan dalam operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah yang dijalankan di sekitar ibu negeri pada 27 dan 29 Oktober lalu.

JIM Sabah dalam satu kenyataan berkata, operasi yang dijalankan bermula jam 10.30 malam hingga 1.00 petang itu melibatkan seramai 25 pegawai daripada Bahagian Penguatkuasaan Kota Kinabalu.

“Beberapa siri operasi termasuk Ops Belanja, Ops Sapu dan Ops Bersepadu bersama Majlis Perbandaran Penampang digerakkan di lokasi tumpuan hasil aduan awam dan maklumat risikan.

“Hasil pemeriksaan terhadap 54 individu mendapati 20 orang PTI ditangkap terdiri daripada lima warga Pakistan, 14 warga Filipina dan seorang warga Indonesia.

“Kesemua mereka ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah atau pas yang sah serta tinggal lebih masa di negara ini,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Semua tahanan dihantar ke Depot Imigresen Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.

“Operasi ini dilaksanakan bagi memperkukuh usaha JIM Sabah dalam membanteras kehadiran dan aktiviti pendatang asing tanpa izin di negeri ini,” katanya.

Katanya, JIM Sabah juga menegaskan tiada kompromi akan diberikan dan tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana individu atau pihak yang melindungi atau membenarkan pendatang asing tanpa izin tinggal di premis mereka.

“JIM Sabah turut menyeru kerjasama masyarakat untuk menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran warga asing tanpa izin di kawasan masing-masing bagi membantu pelaksanaan tindakan lanjut,” katanya.

sumber: sabah post